-->
Hot!




Nak undi siapa?: Analisis kritikal manifesto

Ditulis oleh: Anas Alam Faizli | ANALYSIS
Tidak menjadi masalah, malah adil, jika kita meneliti kedua-dua manifesto BN dan Pakatan dengan pandangan lebih luas, menyeluruh dan holistik. Oleh Anas Alam Faizli

Pilihan Raya Umum ke 13 menjelang tiba, namun masih kedengaran bicara-bicara yang menggambarkan ketidakendahan politik, seperti ‘semua parti sama sahaja’ dan ‘kalau sudah ahli politik, tetap ahli politik’.

Bagi golongan muda yang menjadi majoriti di kalangan 3.7 juta pengundi baru kali ini, keluar mengundi seolah-olah disamakan dengan tugasan “memilih yang kurang jahat di antara dua penjahat”.

Namun begitu perlu diingat pesanan Pericles bahawa walaupun anda tidak peduli politik, politik akan peduli dengan anda. Kita bertanggungjawab memilih kerajaan kerana Rosseau mengatakan kerajaan yang tidak baik akan melahirkan masyarakat yang tidak baik!

Demokrasi-demokrasi moden seperti UK dan Amerika Syarikat mempamerkan ideologi yang ketara berbeza di dalam sistem politik mereka. Ada parti-parti berhaluan kiri seperti Labour di UK dan Democrat di AS, dan ada parti-parti bersifat pro-pasaran bebas dan perniagaan, seperti Republicans di AS dan Conservatives di UK.

Situasi ni menatijahkan perubahan yang jelas dan berkeseluruhan dalam dasar awam dan haluan strategik negara terbabit. Perubahan seperti kadar cukai lebih daripada 70 peratus era President Carter boleh diubah mendadak sehingga diturunkan bawah 40 peratus apabila pemerintahan diambil alih Reagen dan tidaklah sesuatu yang terlalu mengejutkan ketika itu.

Perubahan ideologi dan polisi dilakukan dengan penuh daya berlandaskan ideologi dan teori falsafah politik. Hal ini sebenarnya menghasilkan set data dan pemerhatian yang sangat penting demi membantu proses menilai dan menganalisa kembali kesan-kesan ideologi-ideologi yang berbeza terhadap keadaan status ekonomi.

Falsafah politik
Situasinya berbeza di Malaysia. Kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (Pakatan) kelihatan tidak terlalu jelas meletakkan diri di mana-mana kedudukan di atas paksi falsafah politik.

Namun, satu perkara cukup jelas; rakyat Malaysia tanpa disedari telah berevolusi dengan suara yang sama; isu-isu yang menjadi kerisauan ialah kos kehidupan dan soal jenayah dan keselamatan, seperti yang dilaporkan dalam bancian terkini Merdeka Centre.

Benar, bicara ketuanan kaum dan tuntutan hak keterbilangan kaum terus-menerus dilontarkan dalam pilihanraya kali ini, tetapi perbincangan isu-isu ketidaksamarataan harta dan pendapatan, kos kehidupan yang meningkat dengan mendadak, akses kepada pendidikan dan gaji kecil lebih diutamakan.

Hal ini merubah sama sekali lanskap dan hala tuju politik negara; daripada politik-kebangsaan, kepada diskusi berasaskan perjuangan kelas dan status sosial.

Lantas, perkara-perkara yang kelihatan mesra-rakyat menjadi begitu penting dalam manifesto kedua-dua belah pihak; menjadikan penulisan manifesto itu sebagai suatu usaha populis.

Maka, dalam usaha kita untuk menjadi seorang pengundi yang bermaklum, wajar jika kita meneliti dan belajar membaca mesej sebenar yang tersirat di sebalik pelbagai janji fizikal ini.

Fakta realiti Malaysia
Sebelum membedah manifesto, wajar kita ‘turun padang’ untuk mengenalpasti realiti-realiti di Malaysia secara menyeluruh. Hanya dengan cara ini kita dapat membuat pilihan yang tepat dan sesuai.

Penduduk Malaysia kini mencecah 29.6 juta. Majoriti penduduk adalah Bumiputera (61%), Cina (24%) dan India (7%). Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita Malaysia ialah US$9,970 dengan 12.7 juta tenaga pekerja, termasuklah 2.0 juta tenaga buruh asing berdaftar.

Kemudian pula, terdapat 2.0 juta pendatang asing tanpa izin. Sehingga 2011, seramai 827,000 rakyat Malaysia bekerja di luar, manakala yang berjaya dibawa pulang oleh inisiatif TalentCorp di bawah Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) kurang daripada 2,000.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menghampiri RM1.0 trillion, di mana 47% daripadanya perkhidmatan, 41% industri dan 12% pertanian. Hutang negara berjumlah RM546.0 billion, ataupun 53% daripada KDNK yang majoritinya hutang tempatan.

Nisbah hutang isi rumah kepada pendapatan boleh-belanja merupakan antara yang tertinggi di dunia, melepasi AS, iaitu 140%. Untuk setiap RM1 gaji yang di bawa pulang terdapat RM1.40 nilai hutang.

Negara-negara berkebajikan, dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), secara puratanya menggunakan 20% daripada KDNK untuk perbelanjaan sosial, iaitu kesihatan dan pendidikan.

Malaysia pula hanya membelanjakan 4.1% untuk tujuan pendidikan dan 4.4% untuk tujuan penyediaan perkhidmatan kesihatan, meletakkan kita di tangga ke-101 dan ke-156 di dunia.

Malaysia juga antara tertinggi di Asia untuk ukuran ketidaksamarataan pendapatan antara yang kaya dan yang miskin.

Unjuran pendapatan negara untuk 2013 ialah RM208.6 billion manakala RM201.9 billion buat operasi harian kerajaan dan RM49.7 billion untuk pembangunan. Defisit fiskal ialah 4% dari KDNK.

Transparency International melaporkan kira-kira RM28.0 billion lesap setiap tahun akibat rasuah dan ketirisan di Malaysia. Asian Wall Street Journal pula meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi dunia dalam bancian persepsi rasuah.

Usai melihat fakta-fakta reality Malaysia, manifesto manakah yang lebih mampan, menambah pendapatan negara serta boleh memacu pertumbuhan sambil melindungi poket kita sebagai rakyat biasa?

Laporan Prestasi 2008-2013
Secara umumnya, terdapat beberapa janji-janji BN dalam Manifesto 2008 yang telah dilaksanakan. Masalahnya ia sukar dinilai secara kuantitatif.  Sebahagian besar janji-janji 2008 BN terlalu samar, umum dan sukar dibandingkan dengan mana-mana penanda aras.

Namun begitu, terdapat kes-kes jelas seperti lima koridor ekonomi yang diperkenalkan pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak lagi menerima perhatian kerana pertukaran tampuk pemerintahan kepada Dato Seri Najib Tun Razak.

Lalu timbul persoalan; jika Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih kedudukan Perdana Menteri, mungkinkah janji-janji Manifesto 2013 ini akan turut dilupakan?

Manifesto BN 2008 menjanjikan 2.0 juta peluang pekerjaan, tetapi kurang daripada 1.0 juta pekerjaan dicipta dalam tempoh lima tahun lepas. Rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kejadian-kejadian maut yang meragukan terus berleluasa.

Sebahagiannya terdedah kepada pengetahuan umum seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), lembu dan kondominium mewah National Feedlot Corporation (NFC), kapal selam Scorpene, kes-kes tahanan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), cincin berlian dan terlalu banyak lagi untuk disenaraikan di sini.

Ramai bersetuju hanya dengan mendapat sebuah kerajaan yang telus dan bersih dari rasuah sahaja sudah cukup untuk menghasilkan pulangan yang lumayan kepada rakyat biasa dan memacu pertumbuhan negara.

Kenaikan kos kehidupan yang meruncing terus menerus membebankan rakyat. Walaupun Barisan Nasional (BN) berjanji mengurangkan defisit fiskal negara, namun BN telah terlebih berbelanja sepanjang 15 tahun kebelakangan ini.

Berbanding dengan negeri di bawah pengurusan dan pimpinan Pakatan; laporan Ketua Audit Negara sendiri telah melaporkan negeri-negeri Pakatan di urus dengan pengurusan kewangan terbaik.

Hutang Pulau Pinang telah dilunaskan sebanyak 95% dan pendapatan telah meningkat 47%. Selangor pula menambah simpanan sebanyak RM1.2 billion iaitu rekod tertinggi dalam tempoh 28 tahun. Kelantan pula memperlihatkan peningkatan 58% dalam jumlah dana tergabung.

Manifesto BN vs Pakatan
Manifesto BN 2013 kelihatan seperti perkara yang sama dengan Manifesto 2008, tanpa perubahan ketara pada asas dan strukturnya, bezanya cuma ditambah ole-ole dan bantuan kewangan yang banyak. Manifesto BN kali ini 150 janji dalam 17 kategori berbeza. Soalnya, adakah janji-janji ini dapat dikekalkan ataupun sekadar memenuhi keperluan strategi memenangi hati pengundi?

Manifesto ini juga kelihatan lesu dan tidak gagah memperjuangkan perubahan penting yang perlu dilaksanakan, seperti pemansuhan bayaran pampasan yang lumayan kepada penjana elektrik bebas (IPP) dan perombakan semula konsesi yang diberi kepada syarikat yang mempunyai hubungan politik dengan pemerintah.

Tidak juga disebut keperluan mengurangkan beban tol jalan raya kepada rakyat (yang boleh mengembalikan RM5.0 billion kepada poket rakyat), mengurangkan kos belanja hidup rakyat, mahupun pembaharuan semula dasar pengambilan tenaga buruh asing.

Lebih merisaukan lagi, manifesto ini juga tidak menyentuh usaha membasmi gejala kronisme, pemberian kontrak secara telus dan terbuka, serta pengkajian semua struktur-struktur industri dan pasaran bersifat monopoli yang akhirnya membebankan para pengguna.

Dalam isu pendidikan, Manifesto BN 2013 menawarkan dasar-dasar perlindungan yang sama terhadap sekolah-sekolah vernakular, cuma ditambah sekolah agama, sekolah mubaligh dan pendidikan khas dalam kategori terbabit.

Satu perkara yang menjolok mata adalah apabila BN juga berjanji menaikkan taraf pendidikan Malaysia kepada kedudukan pertiga teratas, walhal Malaysia kini berada di kedudukan pertiga tercorot. Bagaimanakah ini dapat dilaksanakan dalam masa singkat lima tahun?

Pelan Dasar Pendidikan 2013–2025 pula melaporkan 15% daripada sekolah-sekolah di Malaysia masih tidak mendapat bekalan air yang bersih.

Selain itu, 20% sekolah-sekolah tidak dibekalkan dengan makmal sains yang lengkap dan 27% masih tidak dibekalkan dengan makmal komputer yang baik. Isu-isu ini perlu segera diselesaikan.

Jika dibandingkan dengan manifesto Pakatan, Pakatan menjanjikan pembinaan lima buah universiti teknikal dan 25 buah sekolah vokasional dan pendidikan percuma dengan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam cadangan perumahan, BN menjanjikan perumahan mampu-milik seperti manifestonya pada tahun 2008, cuma kali ini 1.0 juta buah dalam masa lima tahun. Hal ini dirasakan kurang munasabah jika dibandingkan dengan target Pakatan yang lebih realistik iaitu 125,000 rumah. Statistik menunjukkan setakat hujung 2011, hanya terdapat 4.1 juta unit rumah di Malaysia.

Manifesto BN dijangka dapat mengurangkan RM1,500 daripada perbelanjaan hidup rakyat Malaysia setahun berbanding Manifesto Pakatan yang boleh mengurangkan RM5,500 dari perbelanjaan setahun dan membesarkan poket rakyat.

Bagaimanakah kaedah perlaksanaan Pakatan mengurangkan kos hidup rakyat? Ini dapat dicapai melalui penurunan harga minyak, elektrik, air, kereta, pendidikan percuma, tol yang menindas rakyat secara monopoli oleh konsesi, serta penetapan gaji minimum pada kadar RM1,100 secara berperingkat dan pengurangan kebergantungan kepada buruh asing.

Beban GST
Bagaimana pula dengan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan)? Pemandu memperjuangkannya dan ia pastinya dalam perancangan.

Walaupun begitu Pakatan melihat rakyat Malaysia masih tidak mampu menelan beban GST dan meletakkannya dalam pelan jangka masa panjang.

BN menjanjikan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.3% dan status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020, manakala Pakatan menjanjikan pertumbuhan ekonomi sebanyak 7%.

Perbezaan keduanya sangat halus, tetapi cukup mendalam. Perubahan tidak mungkin boleh berlaku jika kerja transformasi yang dilakukan hanyalah dengan menampal sistem sedia ada, dan bersifat berpandangan singkat.

Perombakan politik sangat diperlukan untuk merungkai semua ketidakcekapan dan ketirisan dalam sistem yang sedia ada.

Walau satu hingga dua juta pun rumah mampu-milik yang mampu disediakan, siapa pula yang bakal menjadi kontraktor kepada projek-projek besar ini dan bagaimana pula pemberian tanah untuk tujuan pembinaan rumah-rumah tersebut?

Apakah sistem insentif yang tersedia untuk kontraktor dan syarikat-syarikat pembangunan ini dan yang terhasil demi memastikan rumah mampu-milik ini tidak jatuh ke tangan mereka yang tidak layak menerimanya (gaji melebihi aras yang ditetapkan sebagai layak)? Adakah mereka yang menggunakan pintu belakang akan terus diberi pengecualian untuk diperuntukkan rumah secara murah?

Manifesto BN mencadangkan penurunan harga kereta sebanyak 20-30% secara berperingkat. Tetapi, isunya lebih besar daripada itu.

Yang penting ialah perubahan dalam kaedah-kaedah pemberian lesen dan AP yang kini menyebelahi kepentingan para kroni mereka yang berkuasa.

Jika dibandingkan dengan manifesto Pakatan, di samping penurunan harga kereta, terdapat daya politik yang kuat memperjuangkan perubahan dasar kepada yang lebih berintegriti melalui cadangan seperti pelelongan AP.

Manifesto BN langsung tidak membicarakan penurunan harga minyak. Manifesto Pakatan pula mahu mengurangkan harga petrol di pam sehingga 40 sen seliter melalui pemansuhan subsidi gas kepada IPP. Namun cadangan tetap dipersoalkan sebagai tidak ‘sustainable’.

Jadi nak undi siapa?
Pertama sekali, nilailah garis asal kedudukan Malaysia dari sudut sosio-ekonomi. Setelah mengenal pasti tema-tema penting seperti ketidaksamarataan, kualiti pendidikan, dan kos kehidupan, pertimbangkanlah pula apa sebenarnya yang Malaysia perlukan?

Adakah kita mahukan perubahan di peringkat akar berbekalkan daya politik yang tinggi walaupun menelan belanja yang tinggi, ataupun dasar-dasar bersifat sementara dan di permukaan yang juga menelan belanja yang tinggi?

Adalah sukar untuk bersetuju 100% dengan semua yang dicadangkan oleh kedua-dua manifesto BN mahupun Pakatan; mana tidaknya, tujuannya pun adalah untuk meraih undi rakyat. Lalu, tidaklah menjadi masalah, malah adil, jika kita meneliti kedua-dua manifesto dengan pandangan secara lebih luas, menyeluruh dan holistik dan bukanlah dari satu-satu isu serta sudut sahaja.

Jika anda berpuas hati dengan kedudukan sekarang, takutkan perubahan, malah gembira dikategorikan sebagai layak untuk menerima ‘angpau’ kebajikan seperti BR1M, anda wajar mengundi BN.

Namun, jika anda merasakan terdapat keperluan untuk Ubah, membaik pulih kehidupan anda dan anak-anak anda, melalui perubahan dasar-dasar pada peringkat asasnya dengan melantik kerajaan yang menawarkan ketelusan dan bersih rasuah, maka Pakatanlah yang wajar menerima sokongan dan undian anda.

Ramai sudah pun bersedia untuk kemungkinan mempunyai kerajaan yang sedemikian, di mana bukti telah pun ditunjukkan selama pemerintahan Pakatan di empat buah negeri.

Adalah satu perkara gila untuk mengharapkan perubahan dengan mengundi ‘status quo’ seperti kata Albert Einstein, ‘Gila itu adalah melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dan mengharapkan keputusan yang berbeza.’

Undi anda berharga! ‘Tiada seorang pun yang cukup layak untuk mengatur dan menjaga seorang yang lain, jika tanpa kerelaan orang itu sendiri’ – Abraham Lincoln.

* Anas Alam Faizli adalah seorang profesional minyak dan gas. Beliau mempunyai ijazah sarjana pengurusan projek dan sedang menamatkan ijazah kedoktoran serta berTwitter di @aafaizli

** Data dan statistik diperolehi dari EPU, DOSM, HIS 2009, HDR 2011, World databank dan BNM. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk BLINDSPOT

0 Comments:

Post a Comment

WARNING:
Ngiga Insur is not responsible for the comments raised through this social networking site. It is the personal opinion of the owners of the account and do not necessarily reflect our editorial stance. Any risks from the comments posted to the account owner's own responsibility.