Masa pilihan raya ini ada pihak yang sengaja memainkan isu agama untuk memancing undi, kata Taib Mahmud.
LIMBANG: Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menegaskan persoalan tentang kebebasan beragama tidak seharusnya dijadikan isu pada pilihan raya umum kali ini kerana hak ini sudah terjamin dalam Perlembagaan negara.
“Masa pilihan raya ini ada pihak yang sengaja memainkan isu agama untuk memancing undi, jadi saya mengingatkan rakyat membuat pilihan yang betul bagi memastikan kehidupan rakyat senang, agama terjaga dan negara aman,” katanya.
Beliau berkata, hak kebebasan beragama di negeri ini sentiasa dipelihara dengan semua kaum dan penganut agama masing-masing bebas mengamal serta menjalankan aktiviti keagamaan dengan sewajarnya.
“Ini merupakan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memastikan ketenteraman dan keharmonian kaum masyarakat majmuk di negeri ini terus terpelihara dengan baik,” katanya pada Program Pelancaran Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Talian Gred Negeri Sarawak di Rumah Akoh Engsurai semalam.
Hadir sama ialah isteri Taib, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen
Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Jemorong Abu Seman Jahwie dan Residen Limbang Maria Hasman.
Taib berkata kerajaan tidak pernah merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) rakyat seperti yang dimainkan oleh pembangkang.
“Sebab itu mereka yang belum ada geran tanah diminta memohon dengan kerajaan dengan prosedur dan sistem yang betul bagi mengelak perebutan tanah.
“Jika ada pihak yang merampas tanah, maklumkan dengan kerajaan, kerana kerajaan tidak pernah merampas tanah sebaliknya menyediakan mereka tanah untuk tujuan pembangunan,” tambahnya.
“Kalau ada pihak yang merampas tanah laporkan kepada pihak berkaitan,” katanya.
Transformasi
Taib turut memberitahu banyak lagi transformasi akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah kepimpinan BN bagi memastikan kehidupan rakyat lebih baik dari sebelumnya.
Beliau berkata keputusan Sarawak masuk dalam Malaysia adalah tepat kerana negeri ini turut menjadi negeri lebih maju seperti di Semenanjung.
“Selepas lebih 50 tahun Sarawak merdeka, pelbagai kemajuan dinikmati dan masih banyak lagi kemajuan yang perlu dijalankan untuk meletakkan Sarawak membangun seperti negara maju di dunia.
“Kita yakin dalam tempoh 10 tahun lagi Sarawak akan lebih membangun setanding dengan negara luar, seperti Jepun,” ujar beliau.
Menyentuh mengenai pembangunan di Sarawak beliau memberitahu banyak jalan sudah dibina menghubungkan satu kawasan ke kawasan lain, pembinaan BELB dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) turut dinikmati di seluruh pedalaman.
“Usaha ini akan terus dilaksanakan secara berperingkat dan jauh berubah dari sebelumnya,” katanya.
Jelas Taib lagi, kemajuan yang disaksikan hari ini dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira bangsa dan agama.
“Usahlah kita dengan senangnya mahu menukar kerajaan kerana BN sudah memerintah sejak 50 tahun. Rakyat perlu melihat banyak negara yang sudah merdeka lebih awal tetapi masih mundur seperti Bangladesh, Laos, Pakistan dan negara lain,” katanya.
Pengalaman
Malah katanya, berdasarkan pengalaman mentadbir inilah kerajaan berjaya menjaga negara dan rakyat termasuk menangani insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.
“Oleh itu rakyat perlu berfikir kerana hanya kerajaan BN yang banyak membawa pembangunan sejak dari pemerintahan Perdana Menteri yang pertama hingga di bawah era pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.
Katanya, pemimpin baru belajar daripada pemimpin lama dan berkongsi pengalaman mereka untuk menolong rakyat.
“Jangan berfikir dua kali, kita perlu pastikan BN kekal dan terus diberi mandat untuk mentadbir negara demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
Sementara itu, Awang Tengah memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan lebih RM6 juta kepada 104 pengguna di Rumah Akoh Engsurai bagi projek BELB yang dilancarkan semalam.
Awang Tengah memberitahu, dari tahun 2010 hingga 2013 kerajaan sudah membelanjakan lebih RM80 juta untuk BELB di Limbang.
“Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kerajaan pusat turut memberi fokus kepada Sarawak dan Sabah bagi pelaksanaan kemudahan infrastruktur termasuk memperuntukkan sebanyak RM1.7 bilion bagi BELB dan RM1.7 bilion lagi untuk BALB di negeri ini,”ujarnya.
0 Comments:
Post a Comment
WARNING:
Ngiga Insur is not responsible for the comments raised through this social networking site. It is the personal opinion of the owners of the account and do not necessarily reflect our editorial stance. Any risks from the comments posted to the account owner's own responsibility.