-->
Hot!




Ketua Polis Negara: Sesiapa sebar hasutan di media social akan ditangkap

Kuala Lumpur, 7 Mei – Polis tidak akan teragak-agak untuk menangkap mana-mana individu bertanggungjawab menyebarkan apa-apa bahan bersifat hasutan atau mengajak orang ramai bertindak ganas yang boleh menjejaskan keselamatan negara di media sosial.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Hj Ismail Hj Omar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sentiasa memantau sebarang maklumat, pendapat atau artikel yang menyentuh isu-isu sensitif yang berpotensi menggugat ketenteraman awam.

Menurutnya, isu sensitif berkenaan turut dirujuk kepada komen berbaur perkauman, agama dan perkara bersifat hasutan.

“Kita dapati ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memainkan isu perkauman dan hasutan bagi tujuan provokasi menerusi media-media sosial.

“Perkara ini dianggap sebagai cubaan mengkucar-kacirkan negara dengan menimbulkan rasa takut dalam kalangan orang ramai dan keadaan yang huru-hara,” katanya dalam sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Katanya, polis tidak akan membenarkan sebarang bentuk perhimpunan yang menyalahi atau menentang pelaksanaan undang-undang dianjurkan oleh mana-mana pihak.

“Mana-mana pihak termasuk ahli politik yang ingin mengadakan perhimpunan selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dinasihatkan supaya mematuhi kehendak dalam Akta Perhimpunan 2013.

“ Ini termasuklah menghindarkan dari menyentuh isu-isu sensitif atau membakar semangat melalui ucapan berbentuk hasutan, perkauman dan yang boleh mencetuskan perbuatan jenayah,” katanya.

Ismail berkata, sebarang perkara yang berbangkit dan menjadi isu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berakhir hendaklah disalurkan melalui proses dan prosedur perundangan yang betul.

“Kita mengesan adanya gesaan yang tersebar di media-media sosial untuk berarak di pusat membeli belah dan kawasan terbuka sebagai tanda protes dengan keputusan PRU13.

“Itu bukan tindakan yang wajar kerana selain menimbulkan provokasi yang menyalahi undang-undang, ketenteraman orang ramai dan perjalanan lalu lintas juga boleh terganggu,” katanya.


-Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )

0 Comments:

Post a Comment

WARNING:
Ngiga Insur is not responsible for the comments raised through this social networking site. It is the personal opinion of the owners of the account and do not necessarily reflect our editorial stance. Any risks from the comments posted to the account owner's own responsibility.