-->
Hot!




Mosti minta orang ramai jangan panik ancaman ‘WannaCry’

Petikan dari Bernama.com


CyberSecurity Malaysia hanya menerima 2 laporan insiden jangkitan ransomware itu, kata menteri.

PUTRAJAYA: Orang ramai diminta supaya tidak panik dengan ancaman serangan “ransomware” “WannaCry” yang kini melanda di seluruh dunia kerana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan ruang siber negara terlindung daripada pelbagai serangan siber.

Menterinya Datuk Seri Madius Tangau berkata setakat ini CyberSecurity Malaysia hanya menerima 2 laporan insiden jangkitan “Wannacry”, iaitu melibatkan institusi pendidikan dan organisasi swasta.

“Kita akui ancaman serangan siber boleh berlaku tetapi dalam hal ini saya minta orang ramai tidak panik dan terus berwaspada. Mosti bersama CyberSecurity Malaysia akan terus pastikan ruang siber negara terlindung daripada apa jua serangan dan ancaman siber,” katanya dalam sidang media mengenai “ransomware” di sini hari ini.

Madius turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dan mempercayai mesej atau maklumat yang berlegar menerusi media sosial.

Beliau berkata dakwaan ATM bank akan ditutup akibat “ransomware” dan beberapa hotel di Kuala Lumpur dijangkiti perisian jahat adalah satu penipuan.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas mengenai situasi serangan perisian jahat atau “malicious software” atau “malware” itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab di kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Madius, “WannaCry” mensasarkan organisasi sama ada kerajaan atau syarikat perniagaan serta pengguna internet individu di mana impaknya pihak yang diserang akan kehilangan sementara atau kekal sesuatu maklumat, data sensitif dan sulit yang menyebabkan gangguan operasi sesebuah organisasi.

Penjenayah siber yang mengunci maklumat atau fail penting akan memeras ugut mangsa dengan sejumlah wang tebusan bagi membolehkan akses semula kepada maklumat serta fail tersebut, katanya.

Ditanya sama ada mangsa perlu membayar wang tebusan yang diminta, Madius berkata: “Jangan terperangkap dan membayar wang yang diminta, tiada jaminan maklumat dan data yang hilang akan dikembalikan kerana kita tidak tahu siapa di sebalik serangan itu”.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan penggunaan komputer secara beretika dengan tidak membuka e-mel yang meragukan selain melaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia jika mendapat e-mel yang meragukan.

“Laporan orang ramai amat penting bagi membolehkan Mosti mengkaji trend, corak serangan untuk mencari kaedah penyelesaian dalam menangani Ransomeware Wannacry,” katanya.

Amirudin yang turut hadir dalam sidang media itu berkata ransomware bukan suatu ancaman baharu sebaliknya wujud sejak 1986.

Menurutnya, ia menjadi semakin berleluasa dan wujud dalam pelbagai nama, antaranya “Cryptolocker”, “Cryptowall”, “CBT Locker”, “Teslacrypt” dan “Locky”.

Beliau berkata bagi mengelak rangkaian sistem komputer daripada menjadi mangsa ransomware, pentadbir atau pengguna internet perlu menggunakan tampung (patch) yang dikeluarkan Microsoft iaitu tampung keselamatan MS17-010 untuk versi sistem pengendalian Windows baharu (Windows Vista, Windows 7 hingga 10, Windows Server 2008 hingga 2016).

Sistem komputer juga boleh dilindungi dengan pengguna menggunakan sistem pengendalian Windows lama iaitu Windows XP dan Windows 2003, selain melakukan semakan berkala ke atas maklumat kritikal.

Amirudin berkata kesedaran masyarakat masih rendah mengenai “ransomware” dan kesannya, serta tidak melaporkan kepada CyberSecurity Malaysia apabila komputer mereka dijangkiti virus kerana bimbang maklumat itu akan memberi kesan terhadap perjalanan organisasi dan perniagaan yang dijalankan.

“Mereka sebenarnya tidak peka laporan yang dibuat boleh menyelamatkan maklumat yang hilang, malah kami berpegang kepada konsep kerahsiaan sesuatu laporan,” katanya.

Beliau berkata CyberSecurity Malaysia menangani kira-kira 90,000 aduan sejak 1997 tanpa maklumat didedahkan dan ia dibuat secara percuma.

0 Comments:

Post a Comment

WARNING:
Ngiga Insur is not responsible for the comments raised through this social networking site. It is the personal opinion of the owners of the account and do not necessarily reflect our editorial stance. Any risks from the comments posted to the account owner's own responsibility.