-->
Hot!




Bernama: Tindakan tegas terhadap penyebar fitnah

Taken from: Bernama
Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik laman sosial yang menyebar fitnah

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap penyebar fitnah di laman sosial bertujuan mencetuskan huru-hara pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof berkata tindakan itu mencakupi mereka yang turut sama menyebarkan maklumat yang terdapat di laman sosial itu.

“Polis dapati ada pemilik laman sosial Facebook menyebarkan maklumat kononnya ada cubaan tipu undi pos di kawasan Parlimen Temerloh sedangkan perkara ini tidak benar kerana tiada laporan kejadian seumpama itu berlaku,” katanya dalam taklimat kepada media di sini hari ini.

Sambil menggesa penyebaran maklumat seumpama itu dihentikan, beliau berkata mereka yang terlibat akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sesiapa yang mendapat maklumat tidak sahih perlu merujuk kepada polis dan melaporkan perkara itu kepada kami. Ini memudahkan tugas polis dan mengelakkan penyebaran berita tidak benar,” katanya.

Ramli memberi jaminan polis akan sentiasa mengawasi tahap keselamatan awam bagi memastikan PRU berjalan lancar selain bertindak terhadap mereka yang mencetuskan kekecohan termasuk bergaduh dan membakar bilik gerakan.

Sejak penamaan calon 20 April lalu, polis menerima 2,035 laporan berkaitan PRU13. Berdasarkan itu 65 tangkapan dibuat pada Sabtu lepas dan 11 tangkapan semalam di seluruh negara, katanya.

0 Comments:

Post a Comment

WARNING:
Ngiga Insur is not responsible for the comments raised through this social networking site. It is the personal opinion of the owners of the account and do not necessarily reflect our editorial stance. Any risks from the comments posted to the account owner's own responsibility.