KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata rakyat sentiasa mendambakan pembangunan dan kemakmuran sepanjang masa.
“Oleh itu, kerajaan sama sekali tidak akan menyerahkan negeri ini kepada individu yang tidak berpengalaman untuk menerajui dan membawa agenda pembangunan,” katanya.
Justeru katanya, penyelarasan dan peralihan kepimpinan perlu disediakan awal dan seterusnya dilaksanakan dengan memberi latihan dan pendedahan golongan muda bagi meneruskan agenda pembangunan negeri ini.
“Meskipun kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri berjaya mengekalkan penguasaan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas, kita tidak boleh memandang ringan perkara ini kerana perubahan sentiasa berlaku.
“Kita mesti melatih golongan muda dan memastikan peralihan pucuk kepimpinan dapat dilakukan selancar yang mungkin agar mereka (golongan muda) lebih menghargai realiti yang berlaku di sekeliling mereka hari ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Jamuan Malam Pendaftaran Ahli Baru, Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina, Bahagian Kuching semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Presiden PBB negeri Tan Sri Alfred Jabu Numpang menyelar dakwaan calon PKR yang mendakwa kawasan Betong tidak ada pembangunan dan ketinggalan dari segi prasarana.
Hakikatnya ialah, tegas Jabu, kawasan parlimen Betong sehingga kini menerima pelbagai pembangunan tidak kira yang telah siap mahupun yang sedang rancak dilaksanakan.
Justeru, beliau berpendapat pihak pembangkang itu mempunyai masalah penglihatan serta rabun kerana tidak dapat melihat semua pembangunan itu. Antara pertumbuhan yang paling ketara di sini adalah dari aspek pendidikannya.
“Seperti yang dapat kita saksikan hari ini, pelbagai isntitusi pendidikan tidak kira sekolah rendah mahupun institusi pengajian tinggi terdapat di sini,” katanya sambil menambah ia semua merupakan hasil usaha bersama Dato Sri Douglas Uggah Embas.
Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/04/25/rakyat-dambakan-pembangunan-berterusan/
0 Comments:
Post a Comment
WARNING:
Ngiga Insur is not responsible for the comments raised through this social networking site. It is the personal opinion of the owners of the account and do not necessarily reflect our editorial stance. Any risks from the comments posted to the account owner's own responsibility.