-->
Hot!




Najib: Saya rayu tuan fikir masak-masak

Diambil dari: MalaysiaKini


Dua puluh empat jam sebelum pengundian esok, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak hari ini merayu rakyat Malaysia supaya berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan memilih pihak mana dalam pilihan raya umum ke-13.

Katanya, sokongan rakyat Malaysia terhadap BN amat penting untuk memastikan negara ini terus berada di landasan pembangunan dan meneruskan perjalanannya ke arah melaksanakan transformasi secara menyeluruh, lapor Bernama.

"Saya merayu kepada tuan-tuan dan puan-puan supaya meneliti, mendengar dan berfikir dengan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan tentang masa depan negara ini," beliau dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, agensi berita nasional juga melaporkan Najib sebagai berkata, pilihan raya umum kali ini perlulah ditentukan bersandarkan menepati janji, mendukung harapan dan kebolehpercayaan.

"Tidak sepatutnya wujud ruang untuk mereka yang menabur janji kosong dan akhirnya tidak mampu ditunaikan, gemar menyebar fitnah, memanipulasi fakta serta meraih sokongan berasaskan kebencian serta perpecahan," kata perdana menteri dalam surat terbuka kepada rakyat Malaysia.

Lebih 13 juta rakyat Malaysia layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini.

'BN, Zul Noordin sudah minta maaf'

Sementara itu, bercakap kepada masyarakat India di Klang hari ini, Najib meminta kelompok itu memberi mandat yang besar kepadanya dalam pilihan raya umum bagi membolehkan beliau terus menerajui negara.

Beliau berkata setiap undi untuk BN daripada masyarakat India akan memastikan kebajikan yang berterusan diberi oleh parti gabungan itu, lapor Bernama lagi.

Najib juga berkata, kerajaan dan calon BN sentiasa mengamalkan sikap terbuka dengan meminta maaf atas kesilapan mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya.

"Kita minta maaf atas kesilapan dulu, calon BN di Shah Alam (Zulkifli Noordin) meminta maaf atas kesilapan beliau dan berjanji akan membina sebuah kuil di Shah Alam apabila menang nanti, tapi Pakatan tidak berbuat demikian.

"Mereka merobohkan tujuh kuil di Selangor dalam masa lima tahun ini," beliau dipetik sebagai berkata.

Zulkifli sebelum ini meminta maaf kepada masyarakat India selepas menerima kritikan hebat ekoran rakaman video di YouTube yang memuatkan ucapannya yang didakwa menghina agama Hindu.

0 Comments:

Post a Comment

WARNING:
Ngiga Insur is not responsible for the comments raised through this social networking site. It is the personal opinion of the owners of the account and do not necessarily reflect our editorial stance. Any risks from the comments posted to the account owner's own responsibility.